PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berkuasa tempatan bertindak merobohkan rumah ibadat yang dibina secara haram di atas tanah persendirian atau tanpa kelulusan sah, demi menegakkan undang-undang dan mengelakkan konflik berpanjangan.
Dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara di Putrajaya pada Isnin, beliau berkata, tindakan itu mungkin mengundang kontroversi, namun perlu dilaksanakan bagi memastikan isu rumah ibadat haram dapat diselesaikan secara teratur.
“Saya mahu mengumumkan ketetapan, kita tidak lagi mengizinkan yang tidak mengikut peraturan dan majlis bandaran, diberikan keizinan untuk bertindak supaya dibersihkan kawasan yang bukan hak kuil supaya selesai masalah ini dengan baik.
“Saya tahu akan mengundang kontroversi, sebab itu berapa orang sampai ada yang melampau, ada kempen nak robohkan kuil, pun salah itu bukan kerja kamu, kita negara ini negara hukum,” katanya.
Anwar menekankan bahawa semua rumah ibadat, sama ada masjid, gereja, tokong atau kuil wajib dibangunkan mengikut undang-undang dan peraturan yang sah.
“Ikut peraturan. Masjid yang dibangunkan, ikut peraturan, gereja yang dibangunkan, ikut peraturan. Jadi semua yang lain pun begitu juga,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian mesti dicapai melalui jalur undang-undang, bukan pergaduhan atau tindakan melampau.
“Jadi harus cari jalan penyelesaian, bukan pergaduhan, baik kalau ada orang langgar, kita ambil tindakan.
“Kita guna jalur hukum. Bawa kepada lembaga yang sah peraturan,” katanya.
Perdana Menteri juga menepis dakwaan bahawa isu rumah ibadat haram hanya timbul di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, sebaliknya menjelaskan bahawa polemik itu telah berlarutan sejak era pemerintahan BN, PN dan Pas.
“Ini bukan perkara baru. Padahal semua kerajaan masa itu, masa BN perintah, masa PN perintah, masa Pas perintah, sampai sekarang, sebahagian keadilan Kerajaan Perpaduan, hal itu berterusan,” ujarnya.
Sementara itu, isu rumah ibadat haram semakin hangat selepas polis menahan 19 individu termasuk dua suspek utama yang terlibat dalam perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua yang ditahan berusia 30 hingga 64 tahun, terdiri daripada 15 lelaki dan empat wanita.
Dua individu utama yang ditahan ialah penyelaras perhimpunan Zamri Vinoth dan aktivis Tamim Dahri Abdul Razak bagi membantu siasatan di bawah Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.








