Rumah Terbuka Deepavali MADANI Di Kl Sentral Sabtu Ini

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengajak orang ramai hadir memeriahkan sambutan Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 yang akan berlangsung esok di Lot F, KL Sentral.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, majlis itu akan turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan Jemaah Menteri.

Beliau berkata, acara tersebut bukan sekadar sambutan perayaan, tetapi simbol kepada semangat perpaduan dan kemajuan bersama yang menjadi tunjang Malaysia MADANI.

“Pelbagai persembahan menarik dan sajian makanan tradisional India akan menanti para pengunjung. Ahli sukan, penghibur serta pakar daripada pelbagai industri, termasuk sektor digital, turut bersama memeriahkan sambutan ini.

“Rumah terbuka ini menjadi peringatan bermakna bagaimana rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang dapat meraikan Pesta Cahaya bersama,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Gobind berkata, acara berkenaan juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam membela nasib semua lapisan masyarakat termasuk komuniti India.

Beliau menjelaskan, Belanjawan MADANI 2026 memperuntukkan pelbagai inisiatif bagi memperkasakan masyarakat India, antaranya penambahbaikan makmal ICT di sekolah, penyelenggaraan kuil dan pembiayaan mikro untuk usahawan India.

“Inisiatif ini melengkapi program sedia ada bagi memperkukuh komuniti India dan memastikan tiada rakyat yang tertinggal dalam arus pembangunan digital,” ujarnya.

Menurut Gobind, Deepavali bukan sekadar perayaan, tetapi masa untuk merenung kejayaan yang dicapai serta meraikan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan.

“Saya menjemput semua rakyat Malaysia untuk hadir dan bersama-sama meraikan semangat perpaduan di Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2025 esok,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat