Oleh: Tyah Helmi
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi bayangan bahawa rundingan antara AS dan Iran dijangka bersambung semula dalam dua hari akan datang.
Menerusi sumber kepada CNN, rundingan AS-Iran itu dijangka diketuai oleh Naib Presiden JD Vance bersama pegawai Iran sekiranya pertemuan berjaya diadakan sebelum tempoh gencatan senjata berakhir minggu hadapan.
Sebelum ini, Trump pernah mencadangkan Pakistan sebagai lokasi lantas berkemungkinan inya menjadi lokasi bagi rundingan tersebut diadakan.
Namun katanya, beberapa isu utama kekal menjadi halangan, termasuk perbezaan pendirian mengenai tempoh penggantungan program pengayaan uranium Iran.
Kedua-dua pihak dilaporkan bersetuju secara prinsip untuk menghentikan aktiviti itu, namun belum mencapai kata sepakat berhubung garis masa pelaksanaannya.
Dalam masa sama, AS turut menuntut supaya Iran meleraikan kemudahan utama pengayaan nuklear serta membuka semula Selat Hormuz dengan kadar segera.
Sementara itu, di Timur Tengah, Israel dan Lebanon bersetuju untuk meneruskan rundingan susulan selepas mengadakan pertemuan langsung pertama dalam tempoh beberapa dekad.
Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa kedua-dua pihak akan mengadakan rundingan lanjut pada masa dan lokasi yang dipersetujui bersama.
Namun, Israel dilaporkan enggan memberi komitmen terhadap pelaksanaan gencatan senjata di selatan Lebanon.
Baca juga:








