DOHA:Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengesahkan bahawa rundingan mencapai gencatan senjata baharu di Gaza mencapai kemajuan. Namun, perjanjian antara Israel dan Hamas masih belum dimuktamadkan.
Menurut Sheikh Mohammed, mesyuarat yang diadakan pada Khamis lalu menunjukkan perkembangan positif berbanding mesyuarat sebelum ini.
“Kami melihat sedikit kemajuan pada Khamis lalu berbanding mesyuarat sebelum ini, namun persoalan utama yang perlu dijawab ialah bagaimana untuk menamatkan perang ini,” katanya dalam satu sidang media.
Rundingan gencatan senjata itu turut melibatkan Ketua Agensi Perisikan Israel (Mossad), David Barnea, yang dilaporkan mengunjungi Doha untuk bertemu dengan Sheikh Mohammed bagi mencari jalan penyelesaian.
Meskipun begitu, kedua-dua pihak masih berbeza pendirian dalam mencapai matlamat akhir rundingan.
Hamas dilaporkan bersedia untuk membebaskan baki tebusan Israel jika Israel bersetuju menamatkan perang di Gaza.
Namun, Israel mahu agar Hamas membebaskan tebusan tanpa memberikan sebarang jaminan yang jelas mengenai penamatan konflik.
“Apabila tiada matlamat bersama antara kedua-dua pihak, peluang untuk menamatkan perang ini saya kira menjadi amat tipis,” tambahnya.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, yang turut hadir dalam sidang media itu berkata, perbincangan oleh pegawai Turkiye dengan Hamas menunjukkan kumpulan tersebut lebih terbuka untuk mencapai persetujuan.
“Hamas kini lebih terbuka untuk mencapai gencatan senjata yang berkekalan dan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap krisis Gaza,” kata Fidan.
Serangan ketenteraan Israel di Gaza disambung semula pada 18 Mac lalu selepas gencatan senjata yang dipersetujui pada Januari gagal dipertahankan. Sehingga kini, seramai 24 tebusan dipercayai masih berada di Gaza, manakala lebih 51,400 nyawa terkorban akibat serangan yang berlanjutan.
Baca juga: