Rundingan Laut China Selatan kini 70 peratus di peringkat antarabangsa – Menteri

PARLIMEN | Malaysia hampir menyelesaikan perbincangan antarabangsa berkenaan pertikaian Laut China Selatan dalam pelbagai siri rundingan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebagai negara maritim, Malaysia kini berada di peringkat persetujuan sebanyak 70 peratus di arena global.

“Bukan provokasi kerana Malaysia negara maritim dan perlukan keamanan. Isu berkenaan keselamatan di Laut China Selatan menerusi Code of conduct (COC). Kita dah berjaya, hampir 70 peratus diselesaikan sebab dalam perbincangan antarabangsa memerlukan perundingan yang halus.

“Perkara-perkara utama sudah pun diselesaikan. Kita akan muktamadkan code of conduct ini agar Laut China Selatan bebas digunakan oleh semua pihak sebagai laluan dagangan dan satu kawasan yang selamat,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Putih) tentang kemungkinan latihan ketenteraan di Laut China Selatan dan berhadapan dengan ancaman dari negara China atau Amerika Syarikat. Hal ini susulan pencerobohan dari beberapa negara yang menjejaskan kedaulatan negara.

Merujuk kepada soalan latihan ketenteraan pula, Mohamad menjelaskan menjadi tradisi latihan bersama beberapa negara atas hubungan dua hala dan tidak terhad di laut sahaja.

“Orang datang berlatih di darat, udara dan memang sentiasa ada di atas hubungan dua hala dan pelbagai hala.

“Kita perlu pastikan kedaulatan negara tidak terjejas. Insha-Allah,” ujarnya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat