PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang masih bersuara mengenai isu peruntukan dengan kerajaan.
Tegas Perdana Menteri, ruang untuk mereka berunding masih terbuka.
“Jadi, mesyuarat la dulu. Draf itu boleh dipinda. Yang ini nak bising kat luar kenapa? Nak jadi hero jalanan? Belajar dulu,” katanya membidas pemimpin pembangkang, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, gabungannya mempunyai alasan kukuh menolak draf itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 di Menara Hasil pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, isu peruntukan yang tidak diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa menjadikan mereka miskin sepatutnya tidak timbul.
Ini kerana, ujar beliau, gaji yang diterima Ahli Parlimen termasuk pelbagai elaun boleh mencecah sehingga antara RM30,000 hingga RM40,000.
“Ada yang katakan kami sampai miskin berhutang. Anda tahu berapa gaji Ahli Parlimen jika kira elaun semua? Dah cecah RM30,000 hingga RM40,000. Jadi, bukanlah mereka tak ada wang,” kata beliau.
Anwar menambah, projek di kawasan yang diwakili pembangkang tetap diteruskan, namun dijalankan terus dan tidak diberikan kepada Ahli Parlimen.
“Projek itu jalan terus kepada rakyat atau melalui cadangan Ahli Parlimen…jadi nak kata rakyat terbeban adalah tidak benar,” ujar beliau.
Terdahulu, Muhyiddin mendakwa, syarat yang ditetapkan dalam MoU itu adalah luar biasa dan ketat seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.