KUALA LUMPUR: Rundingan berhubung tarif balas oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap produk eksport Malaysia masih berada di landasan yang positif, kata, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap pengumuman terbaharu AS yang menetapkan tarif balas 25 peratus ke atas semua produk Malaysia bermula 1 Ogos ini iaitu peningkatan satu peratus berbanding kadar yang diumumkan pada April lalu.
“Rundingan sememangnya rumit dan tentu sekali memerlukan sedikit pengorbanan.
“Namun matlamat kami tetap jelas iaitu untuk menjamin akses pasaran eksport, memodenkan ekonomi negara serta melindungi mata pencarian rakyat untuk jangka panjang,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.
Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, beliau telah mengadakan sesi libat urus merentas kementerian dan agensi bagi mendapatkan pandangan menyeluruh daripada industri berkepentingan.
Katanya, dialog itu merangkumi sektor perindustrian, pertanian serta perdagangan digital bagi memastikan rundingan mengambil kira pelbagai kepentingan.
“Kita telah menjalankan sesi terlibat urus yang merangkumi pelbagai aspek termasuk produk perindustrian, produk pertanian dan perdagangan digital bagi memastikan rundingan ini mengambil kira kepentingan semua pihak,” jelas beliau.
Menolak tanggapan kegagalan, Tengku Zafrul menjelaskan bahawa perkembangan itu mencerminkan realiti semasa dalam lanskap ekonomi global.
“Ini bukan soal kegagalan atau krisis, sebaliknya satu realiti dalam dinamik perdagangan global yang sedang berubah.
“Kita perlu kekal pragmatik dan terus membina kepercayaan,” katanya.
Beliau juga menyuarakan keyakinan bahawa rundingan dengan AS berpotensi membuahkan hasil positif.
“Jika diberi pilihan 50-50, saya lebih cenderung kepada lebih 50 peratus kemungkinan untuk kita mencapai kesepakatan.
“Rundingan masih berjalan secara konstruktif,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata, Malaysia turut menegaskan pendirian tegas dalam menyokong sistem perdagangan yang berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) kekal sebagai teras utama.