Rundingan Thailand-Kemboja dijangka selesai Khamis ini – Anwar

PARLIMEN | Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan rundingan berkaitan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja dijangka dimuktamadkan pada Khamis ini menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC).

Menurut beliau, Menteri Pertahanan kedua-dua negara dijadualkan hadir dalam mesyuarat tersebut bagi mencapai kesepakatan, sekurang-kurangnya untuk mengekalkan atau meneruskan gencatan senjata antara kedua-dua pihak.

Anwar berkata, penyelesaian ini turut melibatkan usaha memastikan tiada lagi pelanggaran berlaku, terutama di kawasan sempadan yang masih menjadi pertikaian.

“Kita mengharapkan beberapa titik pertemuan yang diselaraskan oleh Malaysia dapat dimeterai pada 7 Ogos ini. Kita berdoa agar satu pencapaian kesepakatan dan penyelesaian muktamad dapat dicapai,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa penyelesaian secara muafakat amat penting kerana pertikaian tersebut bukan sahaja menjejaskan hubungan dua hala, malah turut memberi kesan kepada nama baik ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rodiyah Sapiee (GPS–Batang Sadong) dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa, yang meminta penjelasan mengenai peranan Malaysia dalam rundingan perdamaian dan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat