Runsing jika tebing runtuh, sangat hampir dengan rumah

Kehadiran musim tengkujuh yang berlarutan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di bahagian kawasan Pantai Timur semenanjung Malaysia sekiranya berlaku hakisan dan runtuhan tanah.

Menurut seorang penduduk, Suzana Jusih, 44, dia berasa gusar apabila mendapati tebing sungai belakang rumahnya di Kampung Imam Lapar, Kuala Berang, Terengganu sering runtuh tatkala musim tengkujuh.

Katanya, keadaan Sungai Telemong yang terletak di belakang rumah terdedah kepada hakisan sejak 15 tahun lalu dan kini dilihat semakin menghampiri kediamannya.

“Kedudukan rumah kurang 10 meter daripada tebing yang runtuh dan keluarga saya bimbang dengan keadaan ini terutama pada musim tengkujuh sekarang.

“Kira-kira 15 tahun lalu pihak berwajib sudah mengubah aliran sungai yang sebelum itu betul-betul di belakang rumah saya,” katanya.

Ekoran banjir dan limpahan sungai serta arus deras mengakibatkan berlaku hakisan tebing berhampiran rumahnya.

Tambah Suzana, dia berharap agar tindakan dapat diambil oleh pihak berwajib untuk membuat benteng batu bagi mengelakkan hakisan daripada terus berlaku.

Malah, suaminya, Muhd Zali Jusoh, 53, menutup kawasan hakisan menggunakan atap rumah dan tikar getah bagi mengelak runtuhan semakin buruk.

“Saya dah berdepan dengan kejadian tanah runtuh ni setiap tahun.

“Tanaman buah peninggalan ibu bapa dulu pun sudah hanyut dibawa arus,” katanya menurut Harian Metro.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat