KUALA LUMPUR: Di tengah ketegangan rusuhan yang melanda beberapa bandar utama di Indonesia sejak 25 Ogos lalu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tampil memberi jaminan bahawa tiada pelajar Malaysia dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa lebih 1,200 pelajar Malaysia kini berada di negara jiran itu termasuk di Jakarta, Sumatera dan Pulau Jawa.
“Setakat ini, Alhamdulillah kita tidak menerima sebarang laporan membabitkan pelajar Malaysia di sana.
“Namun, kita terus memantau kerana kesannya dapat dilihat bukan sahaja di Jakarta tetapi juga di daerah lain,” katanya memetik laporan BH.
Menurut Zambry, pemantauan dilakukan secara berterusan dengan kerjasama Wisma Putra dan Education Malaysia Indonesia (EMI).
Beliau berkata, EMI memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat terkini serta menasihatkan pelajar agar menjauhi kawasan terjejas.
“EMI sentiasa berhubung dengan pelajar Malaysia di Indonesia bagi memastikan mereka mendapat maklumat tepat dan tidak berada di kawasan rusuhan,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan pihak berkuasa Indonesia dalam mengawal keadaan dan memulihkan keamanan.
“Saya percaya dengan kepemimpinan pemerintah Indonesia ketika ini, mereka tentu lakukan yang terbaik untuk atasi masalah ini.
“Kita berharap Indonesia kembali aman dan tenteram kerana ia juga memberi kebaikan kepada hubungan akrab dengan Malaysia,” katanya.
Media tempatan melaporkan lebih 1,200 individu telah ditahan susulan demonstrasi besar-besaran yang bertukar ganas di Jakarta dan beberapa kawasan lain.
Kerosakan kemudahan awam akibat rusuhan tersebut dianggarkan mencecah Rp55 bilion (RM15.2 juta).