PARLIMEN | Kerajaan MADANI bakal membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) di Dewan Rakyat tahun ini, sebagai langkah penting menangani ancaman teknologi baharu termasuk jenayah ‘deepfake’.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) sedang merangka RUU tersebut dengan pendekatan berasaskan prinsip agar ia kekal relevan, fleksibel dan mampu beradaptasi terhadap perubahan teknologi yang pesat.
“Dalam konteks ini, kerajaan menegaskan bahawa pendekatan yang bergantung semata-mata kepada garis panduan tidak lagi mencukupi.
“Garis panduan mempunyai peranan, namun dalam menghadapi ancaman yang semakin kompleks dan berisiko tinggi, negara memerlukan satu kerangka perundangan yang kukuh dan jelas.
“Kerangka ini perlu mampu mengawal selia kandungan janaan AI, melindungi integriti maklumat serta memastikan keselamatan keseluruhan ekosistem digital negara terus terpelihara,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Digital di Dewan Rakyat pada Isnin.
Gobind berkata, ancaman kandungan AI kini semakin serius dan meluas, bukan lagi masalah terpencil.
Menurutnya, penyalahgunaan teknologi ‘deepfake’ khususnya telah memungkinkan manipulasi imej, suara dan video sehingga kandungan palsu sukar dibezakan daripada yang tulen.
“Keadaan ini membuka ruang yang sangat luas kepada pelbagai bentuk salah guna termasuk penipuan kewangan, pemerasan, sabotaj reputasi individu serta penyamaran identiti digital yang boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, RUU AI turut menekankan konsep akauntabiliti dengan menetapkan tanggungjawab jelas ke atas entiti yang membangunkan atau melaksanakan sistem AI.
Katanya, penyedia teknologi diwajibkan melaksanakan pengurusan risiko secara proaktif serta mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
“Sekiranya berlaku kecuaian sehingga sistem AI disalahgunakan bagi tujuan penipuan atau menimbulkan ancaman keselamatan, tindakan penguatkuasaan boleh diambil selaras dengan peruntukan undang-undang,” jelasnya.
Selain itu Gobind berkata, RUU itu memperuntukkan mekanisme pelaporan insiden dan kemudaratan AI khususnya bagi menangani ancaman ‘deepfake’ yang semakin canggih.
Mekanisme itu penting kerana ia membolehkan kerajaan mengenal pasti pola ancaman dengan lebih pantas dan tersusun.
“Dengan adanya maklumat yang lebih jelas dan teratur, tindakan mitigasi dan pencegahan dapat diambil dengan segera sebelum ancaman tersebut merebak dan membawa kesan yang lebih besar,” katanya.
RUU itu juga menekankan aspek tadbir urus menyeluruh merentas keseluruhan kitar hayat sistem AI, berpaksikan prinsip etika seperti keselamatan, ketelusan dan pemeliharaan hak asasi.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan pembangunan dan penggunaan AI dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selaras dengan kepentingan awam,” katanya.
Beliau berkata, RUU AI bukan bertujuan mengambil alih kuasa pengawal selia sedia ada, sebaliknya berfungsi sebagai mekanisme penyelaras bagi memecahkan pendekatan silo antara agensi serta membolehkan pelaksanaan standard pengurusan risiko teknologi secara seragam merentas semua sektor.
Dalam masa sama, Kerajaan MADANI turut menggubal RUU Jenayah Siber baharu bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) yang tidak lagi mencerminkan realiti ancaman keselamatan siber semasa.
RUU tersebut akan memasukkan peruntukan khusus berkaitan penyalahgunaan AI dalam aktiviti jenayah siber termasuk kecurian identiti digital dan kandungan ‘deepfake’ berniat jahat.
“Pada masa yang sama, kuasa penguatkuasaan akan diperluas bagi membolehkan tindakan yang lebih berkesan terhadap jenayah siber rentas sempadan,” katanya.








