RUU Iltizam Pacu Transformasi Perkhidmatan Awam

PUTRAJAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang diluluskan di Dewan Negara semalam bakal menjadi pemangkin kepada pembaharuan sektor awam bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan bahawa RUU ini menggariskan pendekatan strategik merentasi sektor dan agensi bagi memperkukuh pentadbiran serta sistem kawal selia kerajaan.

“RUU ini memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan pentadbiran, penyampaian perkhidmatan serta pengurangan kos urus niaga dan masa yang hilang akibat proses tidak produktif,” menurut kenyataan itu.

Ia turut dirangka bagi menangani birokrasi berlebihan, memansuhkan prosedur lapuk, serta menyusun semula proses kawal selia yang membebankan rakyat dan komuniti perniagaan.

“Usaha ini akan menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan lebih pantas, mesra pengguna, dan mudah diakses, serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi menjayakan aspirasi Malaysia MADANI,” kata JPA.

RUU berkenaan telah mendapat kelulusan sebulat suara di Dewan Rakyat pada 6 Mac sebelum diluluskan di Dewan Negara pada 25 Mac.

JPA turut menegaskan bahawa RUU ini bukan sekadar perubahan dasar, tetapi melambangkan transformasi budaya kerja dalam sektor awam demi impak jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara.

“JPA memainkan peranan utama dalam merangka, menyelaras dan melaksanakan RUU ini dengan kerjasama Kementerian Ekonomi, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) serta agensi kerajaan lain,” tambah kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat