Oleh: Nadhirah Akmam
PARLIMEN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa empat rang undang-undang (RUU) penting sedang melalui proses libat urus sebelum dibentang di Parlimen tahun depan termasuk RUU Kebebasan Maklumat (FOI) dan Pendanaan Politik.
Beliau berkata, kesemua RUU tersebut ialah Ombudsman, FOI, Pendanaan Politik serta pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Peguam Cara Negara, yang telah diluluskan dasar pelaksanaannya oleh Jemaah Menteri.
“RUU ini sedang dibincang secara terperinci melalui proses libat urus dengan pelbagai pihak termasuk komuniti perundangan sebelum dimuktamadkan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Anwar, sebahagian RUU dijangka dibentangkan pada awal tahun depan, manakala selebihnya pada pertengahan tahun, bergantung kepada penyelarasan teknikal dan proses konsultasi yang sedang dijalankan.
Namun beliau berkata, kejayaan reformasi tidak hanya bergantung kepada undang-undang baharu tetapi keberanian politik dan ketegasan dalam pelaksanaan.
“Sebutlah undang-undang atau peraturan apa sekali pun, tanpa tekad politik, tidak akan berlaku perubahan,” tegasnya.
Anwar turut merujuk kepada kejayaan kerajaan mengumpul RM15.5 bilion hasil tindakan pihak berkuasa termasuk SPRM, LHDN, Polis dan Kastam sebagai bukti keberkesanan komitmen politik dalam memerangi rasuah.
“Oleh sebab itu, pelaksanaan selepas pembentangan RUU ini kelak adalah aspek paling penting,” katanya.
Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan komitmen memperkenalkan beberapa RUU reformasi institusi termasuk FOI dan Pendanaan Politik, bagi meningkatkan ketelusan serta memperkukuh integriti nasional.
Langkah itu juga selaras dengan usaha memperbaiki skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia di peringkat antarabangsa.








