RUU Pekerja Gig 2025 Lulus, Hadiah Kemerdekaan Buat 1.2 Juta Pekerja Gig

PETALING JAYA: Malaysia melakar sejarah baharu dalam landskap perburuhan apabila Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, menandakan titik kemenangan bersejarah buat lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara.

RUU yang digubal oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) itu mengandungi 112 fasal yang dibahagikan kepada 10 bahagian.

Dalam kenyataan media rasmi, KESUMA berkata, ia memberi penekanan terhadap empat aspek utama iaitu pengiktirafan status pekerjaan, keadilan pendapatan, penyelesaian pertikaian dan perlindungan keselamatan sosial.

“Definisi Pekerja Gig yang jelas sebagai asas pengiktirafan status pekerjaan.

“Mekanisme pendapatan yang lebih adil termasuk penetapan pendapatan dan kadar bayaran minimum yang bersesuaian dengan kos sara hidup melalui Majlis Perundingan secara rundingan ‘tripartite’ antara wakil pekerja gig, entiti kontrak dan kerajaan.

“Mekanisme Penyelesaian Pertikaian berperingkat termasuk Tribunal Pekerja Gig sebagai sebuah badan kuasa kehakiman yang khusus bagi mendengar pertikaian dan akses keadilan kepada pekerja gig.

“Perlindungan Keselamatan Sosial diwujudkan melalui kewajiban caruman PERKESO daripada pendapatan pekerja, yang akan diuruskan oleh penyedia platform,” katanya.

RUU itu turut memperkenalkan mekanisme kilanan dalaman dalam setiap perjanjian perkhidmatan, memastikan pekerja gig mempunyai saluran rasmi untuk mengemukakan aduan atau pertikaian dengan entiti kontrak.

Takrif ‘entiti kontrak’ dalam RUU ini merangkumi penyedia dan bukan penyedia platform yang menawarkan perkhidmatan seperti lakonan, perfileman, muzik, estetik, terjemahan, kewartawanan, penjagaan ibu dan warga emas, pemulihan, fotografi dan videografi yang menjadikan perlindungan ini lebih inklusif dan relevan dengan realiti semasa.

Tribunal Pekerja Gig yang ditubuhkan di bawah RUU ini akan berfungsi sebagai badan kehakiman khusus, dengan kuasa memberi award yang bersifat mengikat dan setara dengan mahkamah sesyen.

KESUMA turut berkata, perlindungan ini tidak menjejaskan fleksibiliti pekerjaan gig.

“Pekerja gig kekal fleksibel dari segi cara dan masa bekerja, tanpa terikat kepada struktur pekerjaan konvensional dan turut mendapat perlindungan di bawah peruntukan undang-undang,” tambahnya.

RUU ini dilihat sebagai hadiah sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-68, melambangkan perjuangan berterusan kerajaan dalam menjamin keadilan sosial dan maruah pekerja gig.

“Undang-undang ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk menterjemahkan aspirasi Malaysia MADANI memastikan keterangkuman, kesejahteraan, dan keadilan sosial untuk semua pekerja, termasuk mereka dalam sektor gig,” kata kenyataan itu.

Anda Mungkin Berminat