RUU Pekerja GIG Lindungi 1.2 juta Pekerja – Nurul Izzah

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyatakan sokongan penuh terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 yang akan memberi perlindungan kepada lebih 1.2 juta pekerja gig di negara ini.

Menurutnya, usaha itu bukan sahaja melindungi hak golongan berkenaan, malah mengangkat martabat mereka dalam pasaran buruh.

“Ketika pandemik Covid-19, pekerja gig berada di barisan hadapan, bekerja tanpa mengenal penat lelah siang dan malam demi memastikan makanan sampai ke meja kita,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Beliau turut memuji langkah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim yang gigih membawa RUU berkenaan selepas melalui proses libat urus bersama lebih 4,000 pihak berkepentingan, meskipun terdapat cubaan untuk melengahkan pembentangan.

Katanya, isu utama yang dibangkitkan pekerja gig ialah ketiadaan perlindungan sosial sekiranya berlaku kemalangan serta tiada saluran penyelesaian adil bagi pertikaian.

Nurul Izzah turut berkongsi pengalaman seorang pekerja gig yang hilang punca pendapatan selepas terlibat kemalangan kerana tidak menerima pampasan sewajarnya.

“RUU ini akan memastikan semua pekerja gig dilindungi PERKESO supaya mereka tidak terbiar tanpa bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menekankan isu penggantungan akaun secara tidak adil akibat aduan palsu pelanggan yang menjejaskan pendapatan pekerja gig.

“Pekerja gig wajar diberi ruang untuk berunding mengenai kadar upah dan syarat pekerjaan.

“Harus ada forum yang menghimpunkan kerajaan, syarikat dan pekerja gig untuk mencari penyelesaian bersama,” katanya lagi.

Beliau menyifatkan pengiktirafan cadangan itu dalam RUU berkenaan sebagai langkah penting ke arah memastikan hak dan maruah pekerja gig terus terbela.

“Pekerja gig ada martabat dan masa depan. Mereka layak dilindungi agar tidak lagi dipandang sebagai tenaga kerja yang boleh dibuang begitu sahaja,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat