KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) melahirkan rasa kesal apabila tidak dilibatkan dalam proses awal penyediaan draf Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja GIG, yang dijangka dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, RUU tersebut dirangka sebagai usaha kerajaan untuk melindungi lebih sejuta pekerja dalam sektor ekonomi gig termasuk penghantar makanan, pemandu e-hailing dan pekerja digital bebas.
Namun, MTUC menyifatkan pendekatan yang diambil kali ini sebagai tidak selari dengan amalan kebiasaan.
“Biasanya MTUC dipanggil berbincang dari peringkat awal tapi kali ini ia tak berlaku.
“Kami (MTUC) lihat perkara ini agak pelik dan tidak seharusnya diabaikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebagai langkah susulan, katanya, MTUC telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang akan meneliti draf RUU tersebut secara menyeluruh.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk persatuan, akademik, aktivis dan pemain industri gig.
“MTUC juga akan merujuk kepada Pertubuhan Buruh Antarabangsa, ILO, bagi memastikan undang-undang yang digubal selaras dengan amalan antarabangsa,” tambahnya.
Walaupun mempertikaikan proses awal, MTUC menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi GIG Malaysia (SEGiM) yang dikemukakan oleh Persatuan Perhantar.
Suruhanjaya itu dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh ekosistem gig negara.
“RUU ini perlu diperhalusi dengan teliti kerana ia melibatkan banyak kementerian dan agensi.
“Kalau tidak, boleh berlaku pertindihan kuasa,” katanya lagi.
RUU Pekerja GIG 2025 telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) dan Majlis Ekonomi GIG Malaysia (MyGiG), yang menyifatkannya sebagai titik tolak penting dalam usaha membela nasib pekerja gig.