RUU Perbekalan 2026 Lulus Peringkat Dasar

PARLIMEN | Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat dasar dengan keputusan undi belah bahagi.

Seramai 120 wakil rakyat bersetuju, manakala 67 tidak setuju sementara 35 tidak hadir.

Undian yang berlangsung pada petang Selasa itu menandakan sokongan majoriti terhadap belanjawan yang dibentangkan oleh Kerajaan Perpaduan, meskipun berdepan kritikan daripada blok pembangkang yang menyifatkan ia sebagai ‘tempang’ dan tidak cukup berani dalam memenuhi aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sesi penggulungan terakhir sebelum undian melibatkan enam kementerian utama termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Digital, Kementerian Luar dan Kementerian Sumber Manusia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, tampil menjawab pelbagai isu yang dibangkitkan sepanjang perbahasan termasuk kebimbangan mengenai kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengumumkan keputusan undian sekitar pukul 7.10 malam sebelum menangguhkan mesyuarat.

Dengan kelulusan di peringkat dasar, RUU Perbekalan 2026 akan memasuki fasa jawatankuasa, di mana peruntukan setiap kementerian akan diteliti secara lebih mendalam.

Perbahasan dijangka lebih hangat apabila isu-isu spesifik seperti subsidi, pendidikan, kesihatan dan pembangunan wilayah dibedah satu persatu.

Anda Mungkin Berminat