RUU Perkhidmatan Parlimen cerminan kerajaan perkukuh demokrasi

PARLIMEN: Memperkenalkan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 adalah langkah kerajaan dalam memperkukuh sistem demokrasi berperlembagaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992 itu perlu dikembalikan bagi memastikan Parlimen berfungsi bebas daripada eksekutif dan dapat menjalankan tanggungjawabnya selaras dengan amalan negara maju.

“Demokrasi Malaysia kini dan masa hadapan memerlukan pemerkasaan institusi Parlimen.

“Justeru, RUU ini merupakan satu langkah penting dengan menetapkan satu perkhidmatan awam yang khusus iaitu menerusi Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP),” katanya ketika membentangkan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Selasa.

Tambah beliau, MPP akan bertindak sebagai badan yang berkuasa penuh ke atas seluruh perkhidmatan Parlimen termasuk menyusun semula organisasi dengan menambah baik fungsi dan struktur perjawatan bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran Parlimen berdasarkan Fasal 4 dan 5.

Kata beliau lagi, peruntukan dalam RUU ini akan merangkumi penyediaan bantuan profesional seperti khidmat penggubalan undang-undang dan penyelidikan untuk ahli Parlimen termasuk kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang

“MPP akan terdiri daripada dua ahli Dewan Negara dan empat ahli Dewan Rakyat, masing-masing dua daripada kerajaan dan pembangkang bagi memastikan keanggotaan yang seimbang,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, di bawah RUU itu, Parlimen akan mempunyai autonomi untuk mengemukakan cadangan belanjawannya terus kepada Kementerian Kewangan (MOF) tanpa memerlukan kelulusan terlebih dahulu daripada Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata, MOF kemudiannya akan membentangkan bajet tahunan negara termasuk peruntukan pembiayaan untuk Parlimen dan badan kehakiman untuk kelulusan.

“Melaksanakan sistem hibrid untuk kerjaya perkhidmatan Parlimen, memastikan jaminan pekerjaan bagi pegawai Parlimen di samping mematuhi prinsip perlembagaan.

“Berdasarkan tinjauan Parlimen yang dijalankan pada 6 Februari, hanya 33 peratus pegawai tetap menyatakan kesanggupan untuk kekal dalam perkhidmatan Parlimen, manakala 67 peratus memilih untuk kembali ke cabang perkhidmatan asal mereka,” katanya.

RUU itu juga bertujuan untuk meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan bagi memperuntukkan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong.

Anda Mungkin Berminat