RUU Perkhidmatan Parlimen: Usaha kerajaan beri kematangan demokrasi – PM

PUTRAJAYA: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 di Dewan Rakyat esok (Rabu), bukti kerajaan berusaha memperbaiki sistem pentadbiran dan demokrasi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, proses untuk merangka pengasingan pentadbiran urusan dan kuasa Parlimen yang bebas itu bukan sesuatu perkara mudah kerana ia melibatkan perbincangan panjang antara speaker dan kakitangan serta pihak berkepentingan lain.

Justeru itu, beliau menyeru ahli Dewan Rakyat menggunakan kebijaksanaan dalam meluluskan RUU yang akan dibaca kali kedua oleh beliau esok.

“Ini akan memberi satu ketetapan tentang kematangan proses demokrasi dalam negara, Parlimen itu sebagai mercu tanda kebebasan dan bersuara Ahli Parlimen.

“Sebab itu saya kata, ada juga kebijaksanaan. Bila ada kuasa, itu dimanfaatkan untuk melaksanakan program dan ini antara yang agak penting kerana ia sekali lagi menunjukkan keupayaan kita memperbaiki sistem pentadbiran demokrasi.

“RUU yang akan dibentangkan esok tentunya perlukan dukungan 2/3 Ahli Parlimen,” kata beliau semasa bercakap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya pada Isnin.

RUU Perkhidmatan Parlimen dibacakan kali pertama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pada 24 Februari lalu.

Undang-undang itu adalah langkah perundangan yang penting ke arah memulihkan kebebasan pentadbiran Parlimen.

Anda Mungkin Berminat