RUU Perolehan 2025 Perkukuh Semak Imbang, Menteri Kewangan Pun Tertakluk – PM

PARLIMEN | Kerajaan memperkukuh komitmen terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

RUU ini digubal sebagai langkah reformasi menyeluruh bagi memastikan setiap urusan perolehan kerajaan tertakluk kepada semak dan imbang yang telus serta bebas daripada pengaruh politik.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, RUU ini memperkenalkan mekanisme semakan semula yang membolehkan keputusan perolehan termasuk yang dibuat oleh Menteri Kewangan sendiri, dicabar dan dinilai semula oleh badan bebas.

“Dengan adanya RUU ini, semak dan imbang diperkukuhkan, di mana keputusan perolehan termasuk keputusan Menteri Kewangan boleh dicabar dan dikaji semula,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan.

RUU ini turut memperkenalkan Panel Kajian Semula dan Tribunal Rayuan Perolehan yang berkecuali sebagai saluran semakan bebas terhadap keputusan perolehan.

Anwar berkata, tiada individu termasuk Menteri Kewangan terkecuali daripada tindakan punitif sekiranya berlaku pelanggaran integriti dalam proses perolehan.

“Lulusnya RUU ini bermakna kita tidak hanya menampal kelemahan sistem lama, malah memacu langkah ke hadapan untuk membina sebuah Malaysia yang dihormati kerana ketelusannya,” katanya.

RUU Perolehan Kerajaan 2025 digubal sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (FRA) dan menjadi pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957.

Ia dirangka untuk menangani ketirisan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang telah lama membelenggu sistem pentadbiran negara.

Antara peruntukan penting dalam RUU ini ialah hukuman tegas terhadap pelanggaran undang-undang perolehan termasuk denda sehingga tiga kali ganda nilai kontrak atau penjara maksimum lima tahun.

Anda Mungkin Berminat