PETALING JAYA: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dilihat sebagai langkah strategik kerajaan untuk memodenkan kawasan bandar lama yang terbiar, sekali gus menjadikan persekitaran lebih selesa, teratur dan berdaya tarik kepada pelabur.
Peguam Hafiz Baharudin berkata, RUU PSB selari dengan matlamat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan pembangunan semula kawasan bandar yang uzur dan tidak terurus.
“Tujuan utama adalah ‘urbanization of our old cities’. Kita nak ‘refurbish’ kasi cantik, supaya bila orang luar datang, mereka berminat untuk melabur atau tinggal di negara kita,” katanya dalam program Financial Faiz yang dihoskan oleh Faiz Azmi.
Beliau turut memberi gambaran realiti flat usang di sekitar Kuala Lumpur yang terabai daripada segi kebersihan, sistem perparitan dan penyelenggaraan asas.
“Bayangkan bila turun dari tempat letak kereta, bukan sahaja tiada kemudahan tetapi lopak-lopak air akibat paip dan sistem saliran bocor bercampur najis.
“Dalam keadaan begini, rumah-rumah itu masih disewakan dengan harga murah,” katanya lagi.
Menurut Hafiz, keadaan ini menjadikan kawasan tersebut mudah dihuni oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk pendatang tanpa izin, penyeludup dan penjenayah kerana kadar sewa yang rendah meskipun lokasi berada di tengah bandar.
Beliau turut merujuk kenyataan menteri yang menyifatkan kawasan-kawasan lama di ibu kota bukan sahaja terabai, tetapi telah menjadi ‘sarang jenayah’, menjadikan pembaharuan semula bandar satu keperluan mendesak.
Namun, Hafiz mengingatkan bahawa proses pembaharuan perlu dilaksanakan secara berhati-hati agar tidak menjejaskan kepentingan penduduk asal yang masih menetap di kawasan terbabit.
“Isu ini sudah dibincangkan sejak 2022 dan kembali hangat pada 2023, kini dibawa ke Parlimen sebagai langkah serius kerajaan untuk menangani masalah tersebut,” katanya.








