PETALING JAYA: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) bukanlah satu bentuk perampasan harta rakyat, sebaliknya bertujuan memperkukuh perancangan bandar secara tersusun dan inklusif.
Peguam Dr Zulqarnain Lukman berkata, persepsi kononnya akta itu menindas atau menafikan hak pemilik adalah tidak berasas dan bersifat propaganda.
Menurut beliau, RUU PSB menetapkan mekanisme rundingan antara pemaju, kerajaan dan penduduk sebagai syarat wajib sebelum sebarang projek pembangunan semula dijalankan.
“RUU ini bukan undang-undang zalim. Setiap pemilik akan mendapat semula unit mereka dengan penambahbaikan.
“Malah, rundingan wajib dilaksanakan sebelum sebarang projek dimulakan,” katanya.
Dr Zulqarnain turut menjelaskan bahawa undang-undang yang membolehkan pengambilan paksa tanah hanyalah Akta Pengambilan Tanah 1960, yang telah lama digunakan oleh semua negeri termasuk negeri pembangkang.
Menurut beliau, RUU PSB pula hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan Labuan, manakala Sabah dan Sarawak tidak terlibat dalam pelaksanaannya.
Beliau berkata, ambang persetujuan penduduk telah ditetapkan bagi memastikan suara majoriti diambil kira secara adil.
Katanya, syarat persetujuan itu berbeza mengikut usia bangunan, tahap kemerosotan atau status ditinggalkan bagi mengelakkan keputusan dibuat secara sewenang-wenangnya.
RUU ini, katanya, bertujuan menaiktaraf kawasan usang dan terbengkalai, meningkatkan nilai hartanah penduduk serta mengelakkan kawasan terbiar menjadi beban kepada komuniti.
“Kita mahu elak kawasan terbiar menjadi beban.
“Dengan akta ini, penduduk dapat manfaat, pemaju beroleh keuntungan dan kerajaan pula berjaya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi.
RUU PSB dijangka dibentangkan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Dewan Rakyat sebagai usaha mewujudkan kerangka perundangan khusus bagi pembangunan semula bandar.
Ia melibatkan kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dengan matlamat menjadikan pembangunan semula lebih tersusun, adil dan berpaksikan kepentingan rakyat.