RUU Tadbir Urus AI jadi pelindung hak cipta, intelek negara

Oleh: Tyah Helmi

PARLIMEN | Rang Undang-Undang Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) bakal mewujudkan akauntabiliti tambahan bagi memastikan pembangunan dan penggunaan AI telus dan patuh undang-undang.

Hal ini sekali gus mengimbangi keperluan inovasi teknologi dengan perlindungan hak cipta dan harta intelek negara.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, RUU Tadbir Urus AI yang sedang digubal oleh Kementerian Digital bertujuan menyediakan satu kerangka tadbir urus nasional menyeluruh bagi keseluruhan kitar hayat sistem AI, merangkumi fasa pembangunan, latihan model, penggunaan, pemantauan serta pengurusan risiko dan impak.

“Kerangka ini menetapkan prinsip asas, struktur penyelarasan antara agensi serta peranan dan akauntabiliti pihak berkepentingan termasuk pembangun, penyedia, pelaksana dan pengguna sistem AI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Parlimen, di Dewan Rakyat pada Khamis menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai cara RUU itu menangani isu hak cipta dan harta intelek yang timbul daripada sistem AI.

Gobind menjelaskan isu hak cipta dan harta intelek dalam latihan AI menggunakan data seperti teks, imej, audio dan video manakala RUU Tadbir Urus AI tidak menggantikan atau mengetepikan Akta Hak Cipta 1987 dan undang-undang harta intelek sedia ada.

Sebaliknya, RUU tersebut akan berfungsi sebagai undang-undang kerangka (framework law) bagi memastikan semua pihak terlibat dalam pembangunan dan penggunaan AI terikat kepada pematuhan undang-undang hak cipta sedia ada, serta tertakluk kepada akauntabiliti sepanjang kitar hayat sistem AI.
 
“Melalui peruntukan tadbir urus ini, RUU Tadbir Urus AI akan mewajibkan pihak yang membangunkan dan menggunakan sistem AI untuk mengurus risiko perundangan dan etika, termasuk risiko pelanggaran hak cipta akibat penggunaan data latihan yang tidak sah atau tidak berlesen.

“Mekanisme seperti penilaian risiko, keperluan ketelusan, audit dan pematuhan akan membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap sistem AI yang berpotensi melanggar hak harta intelek,” ujarnya.
 
Pada masa sama, penguatkuasaan substantif terhadap hak cipta dan harta intelek kekal di bawah rangka perundangan sedia ada, khususnya Akta Hak Cipta 1987 dan undang-undang berkaitan, yang ditadbir oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Baca juga :

     

  

Anda Mungkin Berminat