PETALING JAYA: Dalam usaha memperkukuh perlindungan terhadap pelajar dan warga institusi pendidikan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan bahawa Kerajaan MADANI akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli pada sidang Parlimen akan datang.
Menurutnya, langkah itu dilihat sebagai manifestasi komitmen kerajaan untuk menangani isu buli secara menyeluruh dan bukan sekadar retorik.
“Kerajaan tidak hanya melaungkan tekad tetapi benar-benar mengotakannya melalui RUU Tribunal Antibuli.
“Ini adalah langkah besar memastikan generasi akan datang bebas daripada budaya buli,” tegasnya.
Terdahulu, Fadhlina turut menghadiri Sesi Libat Urus Tribunal Antibuli yang dianjurkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Sesi tersebut membuka ruang kepada pakar dan peserta untuk berkongsi pandangan serta cadangan yang akan dimanfaatkan bagi memperkukuh pelaksanaan tribunal.
“Orang ramai juga dialu-alukan menyuarakan pandangan mereka melalui portal khas supaya tribunal ini benar-benar mantap dan dapat dilaksanakan secara optimum,” tambah beliau.
Menurut Fadhlina, usaha membanteras salah laku buli memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan pihak berkepentingan.
“Usaha menangani salah laku buli perlu dilaksanakan secara bersepadu, merentasi kementerian, agensi serta melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memastikan keberkesanannya,” katanya.
RUU Tribunal Antibuli merupakan sebahagian daripada agenda #GenerasiTanpaBuli, yang lahir daripada keperluan mendesak untuk menangani kes buli yang semakin membimbangkan masyarakat.








