PETALING JAYA: Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) diluluskan di Dewan Negara semalam, sekali gus meletakkan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) di bawah kawal selia Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) yang bakal ditubuhkan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, sebelum ini BNPL dan beberapa perkhidmatan lain seperti pajakan, pemfaktoran, kutipan hutang serta pengurusan hutang tidak dikawal selia oleh mana-mana pihak.
“Dengan kelulusan RUUKP, semua perkhidmatan ini akan dikawal selia oleh SKP di bawah fasa pertama apabila akta ini dikuatkuasakan,” menurut kenyataan itu.
RUUKP bakal mewujudkan kerangka kawal selia konsisten, melindungi pengguna daripada amalan kredit tidak adil dan tidak telus, selain mengukuhkan keyakinan terhadap sistem kewangan negara.
“SKP sebagai sebuah badan bebas akan berperanan menasihati kerajaan, memastikan pemberi kredit bertindak secara profesional, dan pada masa sama menggalakkan perkembangan industri kredit yang telus,” kata kementerian itu lagi.
Isu BNPL sebelum ini kerap diperdebatkan pertubuhan dan pengguna yang menganggapnya mudah menjadi jerat hutang walaupun ditawarkan sebagai kemudahan membeli barangan keperluan.
Baca juga: