RXZ Members 7.0 Catat Sejarah, 150,000 Komuniti Permotoran Hadir

KUALA NERUS: Himpunan RXZ Members 7.0 mencatat sejarah sebagai edisi paling besar dan berjaya sejak penganjurannya bermula pada 2017 dengan kehadiran lebih 150,000 peserta membanjiri Litar Permotoran Kompleks Sukan Gong Badak selama dua hari.

Acara tahunan yang menghimpunkan peminat tegar motosikal Yamaha RXZ dari seluruh negara dan luar negara itu bukan sahaja menjadi medan konvoi dan pameran jentera dua lejang tetapi turut menyaksikan pelbagai aktiviti menarik seperti Motorshow, Dyno Battle, sesi bual bicara bersama Ustaz Azhar Idrus serta penampilan selebriti seperti Datuk Rosyam Nor dan Pablo Amirul.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun dan turut dihadiri Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Perdana Menteri sendiri menyatakan sokongan padu terhadap komuniti permotoran dengan peruntukan RM100,000 bagi menjayakan program itu sebagai pengiktirafan terhadap peranan mereka dalam menyatukan rakyat dan merancakkan ekonomi tempatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyalurkan peruntukan tambahan RM200,000 bagi menyokong penganjuran Program RXZ Members 7.0 2025 di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.

Namun, di sebalik kejayaan besar itu, terdapat juga sisi yang mencetuskan perbincangan.

Beberapa insiden kemalangan dilaporkan melibatkan peserta konvoi dalam perjalanan ke acara termasuk dua kematian tragis di Pahang dan Terengganu.

Pihak penganjur dan JPJ telah mengambil langkah proaktif dengan menekankan aspek keselamatan termasuk pengedaran 3,000 helmet dan penempatan 600 anggota polis di seluruh daerah terlibat.

Terdahulu, Pengarah Program, Mohd Lukhman Hassan menyifatkan sambutan luar biasa ini sebagai bukti sokongan padu komuniti RXZ terhadap acara yang bukan sekadar hobi tetapi lambang solidariti dan semangat kebangsaan.

RXZ Members 7.0 bukan hanya tentang motosikal ia tentang komuniti, semangat dan suara anak muda yang mahu diraikan, bukan disisihkan.

Anda Mungkin Berminat