TEL AVIV: Ryanair, syarikat penerbangan tambang rendah terbesar di Eropah telah mengumumkan penggantungan serta-merta dan tanpa had tempoh bagi semua penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Ben Gurion (TLV), Israel.
Keputusan drastik itu berpunca daripada perselisihan berpanjangan antara Ryanair dan pihak pengurusan lapangan terbang berkenaan isu slot penerbangan dan penutupan Terminal 1.
Menurut kenyataan rasmi Ryanair, operasi mereka ke Tel Aviv telah ‘berulang kali terganggu’ sepanjang musim panas 2025 disebabkan oleh kebimbangan keselamatan di ruang udara Israel serta tindakan Ben Gurion yang menutup Terminal 1 sebanyak tiga kali dan memaksa Ryanair beroperasi dari Terminal 3 yang lebih mahal.
Ryanair turut membatalkan 22 laluan penerbangan ke Tel Aviv untuk musim sejuk ini melibatkan kehilangan lebih sejuta tempat duduk.
Ryanair berkata, operasi hanya akan disambung semula jika Ben Gurion mengesahkan slot musim panas 2026 dan menjamin Terminal 1 akan kekal dibuka.
Sebaliknya, pihak pengurusan Ben Gurion menafikan dakwaan gangguan dan menyalahkan Ryanair atas keputusan pembatalan tersebut.
Mereka menyifatkan tindakan Ryanair sebagai manipulatif dan merugikan penumpang Israel.
Langkah ini dijangka memberi kesan besar kepada pelancong dan komuniti perniagaan yang bergantung kepada laluan tambang rendah antara Eropah dan Israel.
Ryanair sebelum ini merupakan antara penyedia utama laluan bajet ke Tel Aviv.