‘Sabah Adalah Milik Rakyat Sabah’ – Anwar

KOTA KINABALU: Buat pertama kali sejak 1974, Kerajaan Persekutuan tidak lagi berlengah atau menunggu keputusan mahkamah mahupun tekanan politik untuk menunaikan hak Sabah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan kini bertindak atas dasar iltizam politik yang jelas demi menjelmakan keadilan kepada negeri itu.

“Untuk pertama kali sejak 1974, kita tidak berlengah atau tunggu mahkamah mahupun ugutan politik.

“Malah, kita mahu melaksanakannya kerana kita punyai iltizam politik yang jelas dalam menjelmakan keadilan untuk Sabah,” katanya.

Anwar turut mengemukakan fakta yang menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI terhadap Sabah.

Menurut beliau, kerajaan telah menyalurkan bayaran interim sebanyak RM300 juta pada tahun 2023, RM400 juta pada 2024 dan RM600 juta pada 2025.

“Sabah kutip RM10 bilion setahun tapi yang kita pulangkan lebih RM17 bilion.

“Ini yang kita sebut sebagai pelaksanaan tekad politik,” katanya.

Beliau turut menyelar budaya lama yang memperdagangkan hak Sabah demi kepentingan politik sempit dan menyeru agar ia dihentikan segera.

“Justeru, bagi saya kita mesti hentikan budaya memperdagangkan hak Sabah terlalu lama dan persoalkan mereka yang tamak dan alpa akan hak Sabah selama ini,” katanya.

Anwar berkongsi bahawa ketika beliau disapa oleh seorang anak muda di Pasar Gaya pagi tadi, beliau memilih untuk menegakkan hujah dan fakta di hadapan khalayak, demi memperjelas komitmen kerajaan terhadap Sabah.

Anwar turut berkongsi video berkenaan di Facebook beliau.

Perdana Menteri berkata, Sabah adalah milik rakyat Sabah dan hak mereka tidak boleh lagi dinafikan.

“Sabah adalah milik rakyat Sabah!” katanya.

Anda Mungkin Berminat