Sabah Akan Terlibat Secara Langsung Dalam Rundingan Sempadan Maritim

PARLIMEN | Kerajaan Persekutuan memberi jaminan bahawa Sabah akan dilibatkan secara langsung dalam semua proses berkaitan rundingan persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia di Laut Sulawesi.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata wakil kerajaan negeri Sabah turut dibabitkan dalam mesyuarat dan rundingan teknikal berkaitan isu persempadanan maritim bagi memastikan pandangan negeri itu diambil kira.

“Kerajaan sentiasa serius dalam mempertimbangkan pandangan serta pendirian negeri Sabah demi memastikan kedaulatan, hak dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara,” katanya.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai jaminan kerajaan memastikan keputusan dibuat agar benar-benar mempertahankan hak dan kedaulatan negara termasuk kepentingan bagi negeri Sabah.

Mohamad turut menegaskan bahawa perbincangan persempadanan dijalankan secara berhemah dan berlandaskan prinsip perundangan serta pertimbangan teknikal yang teliti.

Mohamad berkata Malaysia kekal dengan pendirian bahawa Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatan negara, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Rujukan kepada ‘Ambalat’ adalah tidak tepat dan boleh mengelirukan. Istilah yang betul selaras dengan pendirian Malaysia adalah Laut Sulawesi,” jelasnya.

Berhubung kenyataan bersama Perdana Menteri dan Presiden Indonesia pada 27 Jun lalu mengenai cadangan pembangunan bersama di kawasan berkenaan, Mohamad menjelaskan bahawa ia masih di peringkat pertimbangan awal.

“Tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini. Ia hanyalah usaha awal bagi meneroka kemungkinan kerjasama dua hala. Kaedah pelaksanaan juga belum dibincangkan secara terperinci,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat