Sabah Batal Sambutan Hari Malaysia, Fokus Penuh Bantu Mangsa Banjir

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengambil keputusan membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung esok (Selasa) di Padang Merdeka, susulan bencana banjir yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan segera bagi komuniti yang terjejas.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama.

“Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Beliau turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, agar sentiasa bersiap siaga dan memantau situasi semasa dengan teliti, selain menyelaras tindakan segera di lapangan.

Kerajaan negeri juga menyeru orang ramai agar terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan dan memberikan kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat yang kini giat mempertingkatkan usaha di seluruh negeri.

Anda Mungkin Berminat