Sabah Bukan Negeri Terpinggir, Tapi Nadi Kekuatan Malaysia – PM

KOTA KINABALU: Sabah bukan lagi negeri yang dipinggirkan, sebaliknya menjadi nadi kekuatan Malaysia dalam pembangunan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Beliau berkata demikian dalam satu hantaran penuh semangat yang menekankan prinsip keadilan dan martabat rakyat sebagai teras pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Dalam setiap langkah yang kita ambil, prinsipnya jelas: angkat martabat rakyat.

“Dari jalan raya, klinik desa, sekolah daif hingga universiti kita bersungguh perbaiki bukan untuk meraih sorak tetapi kerana itu hak rakyat,” katanya.

Anwar berkata, komitmen kerajaan terhadap Sabah bukan sekadar retorik tetapi dibuktikan melalui penyaluran peruntukan pembangunan tertinggi kepada negeri itu.

Menurut beliau, langkah itu bertujuan memastikan kemajuan dirasai oleh rakyat terbanyak, bukan hanya segelintir yang berkuasa.

“Sebab itu kerajaan MADANI menyalurkan peruntukan pembangunan tertinggi kepada Sabah kerana kita mahu kemajuan itu dirasa oleh rakyat terbanyak, tidak hanya segelintir yang berkuasa,” ujarnya.

Beliau turut mengakui bahawa pentadbiran kerajaan tidak sempurna, namun menegaskan bahawa usaha membela rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

“Kita tidak sempurna, tetapi kita kerja bersungguh-sungguh untuk membela.

“Dan selagi diberi nafas, saya akan terus bekerja untuk Sabah dan Malaysia,” tegasnya.

Anda Mungkin Berminat