Sabah kekal milik rakyat negeri, bukan pihak asing – Mustapha Sakmud

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Mustapha Sakmud menegaskan Sabah kekal sebagai milik rakyat negeri itu dan bukan milik mana-mana pihak asing, termasuk Filipina.

Beliau berkata, sebarang dakwaan atau kenyataan pihak luar yang cuba menuntut semula Sabah adalah tidak berasas sama sekali kerana negeri berkenaan tidak pernah menjadi hak mereka.

“Sabah adalah hak milik rakyat Sabah. Ia bukan milik Filipina, dan tidak timbul soal untuk menuntut semula sesuatu yang bukan milik mereka sejak awal,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di laman Facebook pada Sabtu.

Tegas beliau, rakyat Sabah tetap berpendirian menolak dengan jelassebarang tuntutan luar terhadap negeri itu.

Menurut beliau, kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia tidak boleh dipertikaikan dan akan terus dipertahankan.

“Tiada sesiapa pun akan menyentuh Sabah. Kedaulatan negeri ini akan terus dipelihara,” tegasnya.

Sebelum ini, Senator Filipina, Robin Padilla, menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah, wilayah kaya sumber minyak yang terletak di Pulau Borneo.

Padilla berkata sudah tiba masanya Manila bertindak tegas bagi ‘menuntut hak’ yang didakwanya milik Filipina, termasuk menghantar wakil rasmi ke kawasan berkenaan.

Beliau turut mencadangkan agar jurucakap Pengawal Pantai Filipina, Laksamana Muda Jay Tarriela bersama pasukannya digerakkan bagi memperkukuh tuntutan tersebut.

Menurutnya, semangat patriotik pasukan itu wajar disalurkan ke Sabah dengan kehadiran yang konsisten ‘ketika air surut mahupun pasang’.

Sabah ketika ini merupakan sebahagian daripada Malaysia, namun Filipina terus membuat tuntutan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat