KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan memulakan proses penstrukturan semula secara menyeluruh terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk membabitkan pelantikan pengerusi serta ahli lembaga pengarah baharu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata langkah itu diperlukan bagi mengukuhkan tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti dan memastikan GLC dipacu oleh kepimpinan yang lebih dinamik serta berprestasi tinggi, selaras dengan matlamat pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Matlamat kita adalah untuk menjadikan GLC sebagai pemangkin ekonomi yang berkesan dan boleh dipercayai melalui pengurusan yang kompeten, demi menjana nilai yang lebih besar kepada rakyat dan negeri,” katanya, memetik Sabah Media pada Ahad.
Hajiji menegaskan pentingnya barisan kepimpinan profesional yang berorientasikan hasil bagi mengemudi era baharu pembangunan Sabah yang menumpukan pelaburan strategik, pendigitalan, tenaga baharu serta kemajuan sosial.
“Kita menghargai sumbangan kepimpinan terdahulu, namun rombakan adalah perlu untuk memastikan transformasi yang berkesan dan berterusan. Keutamaan kita adalah memastikan masa depan Sabah yang stabil, makmur dan terjamin, selaras aspirasi SMJ 2.0,” katanya.
Baca juga:








