Safiq Rahim pula jadi sasaran, polis buru dua suspek pecah cermin kereta

Polis sedang memburu dua lelaki yang disyaki terlibat dalam insiden pecah cermin kereta Honda City milik pemain Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan pihaknya menerima satu laporan yang dibuat pemain tengah JDT, Safiq Rahim.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku pada pukul 10.05 malam di kawasan sekitar Johor Bahru.

“Mangsa merupakan pemain bola sepak kelab JDT berusia 36 tahun menyatakan cermin kereta yang dipandu dipecahkan dua inividu tidak dikenal dengan menggunakan alat dipercayai tukul besi.

“Suspek turut menunjukkan tukul ke arah mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Raub, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan cermin kereta pecah di bahagian belakang.

Menurutnya, siasatan juga mendapati kereta mangsa tidak dipasang kamera papan pemuka atau ‘dashcam’.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengesan suspek dan motif kejadian terbabit. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian,” katanya.

Terdahulu, Safiq Rahim memuat naik satu hantaran berhubung kejadian dia diserang dua individu tidak dikenali ketika pulang mengambil barang di pusat latihan JDT di Sri Gelam di sini kira-kira pukul 10 malam.

Difahamkan, cermin kereta Honda City dipandunya dipecahkan oleh dua individu dengan menggunakan dipercayai tukul besi sebelum membuat laporan di Balai Polis Larkin.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat