LISBON: Cristiano Ronaldo, nama yang sinonim dengan keghairahan bola sepak dan semangat juang luar biasa, akhirnya mengesahkan bahawa Piala Dunia FIFA 2026 akan menjadi pentas terakhirnya sebagai pemain antarabangsa.
Dalam satu wawancara eksklusif bersama CNN, bintang Portugal itu menyatakan dengan penuh ketegasan dan keikhlasan.
Dunia bola sepak bersedia menyaksikan bab terakhir seorang lagenda yang telah menakluk hampir setiap pentas kecuali satu iaitu trofi Piala Dunia.
Ronaldo, yang kini beraksi bersama kelab Al-Nassr di Arab Saudi, bakal mencatat sejarah sebagai pemain pertama yang tampil dalam enam edisi Piala Dunia.
Jika berjaya menjaringkan gol, beliau akan menyertai senarai eksklusif penjaring tertua dalam sejarah kejohanan, menyusuli Roger Milla dari Cameroon.
Dengan 143 gol antarabangsa dan 953 gol sepanjang karier profesional, Ronaldo bukan sahaja menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki, malah menjadi simbol global bagi ketekunan, disiplin dan kepercayaan diri yang tiada tandingan.
Portugal kini hampir pasti layak ke Piala Dunia 2026, hanya memerlukan dua mata daripada baki perlawanan menentang Ireland dan Armenia.
Ronaldo telah menyumbang lima gol dalam empat perlawanan kelayakan, sekali gus membuktikan bahawa walaupun usia semakin meningkat, ketajaman dan pengaruhnya masih utuh.
Walaupun kontraknya bersama Al-Nassr dilanjutkan sehingga 2027, Ronaldo menegaskan bahawa pentas Piala Dunia akan menjadi ‘final major tournament’ dalam kariernya.








