Saham Tesla lonjak lebih 14 peratus selepas kemenangan Trump


Oleh: Haikal Tajuddin

NEW YORK: Harga saham Tesla mencatat lonjakan lebih 14 peratus selepas pelabur menjangkakan bahawa syarikat kenderaan elektrik itu bakal mendapat manfaat dengan kembalinya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS).

Memetik AP News, Tesla kini mendominasi pasaran kenderaan elektrik di AS dengan 48.9 peratus bahagian pasaran pada pertengahan 2024.

Dikatakan, Tesla mampu memperoleh keuntungan besar di bawah pengaruh Trump nanti.

Menurut penganalisis Wedbush, Dan Ives, inisiatif ini dapat memberi kelebihan kepada Tesla terutama persekitaran tanpa subsidi EV.

“Tesla memiliki skala dan kapasiti yang tiada tandingan. Keadaan ini memberi kelebihan kompetitif yang jelas kepada Musk dan Tesla, ditambah dengan tarif yang lebih tinggi terhadap China yang akan terus menjauhkan pemain kenderaan elektrik murah dari China.

“Sejajar dengan dasar Trump yang ingin mengenakan tarif tinggi terhadap barangan import dari China dijangka menyukarkan kenderaan elektrik dari China untuk memasuki pasaran AS,” jelasnya pada Rabu.

Dipercayai, saham Tesla melonjak 14.8 peratus manakala saham pesaing seperti Nio (China) turun 5.3 peratus, Rivian jatuh 8.3 peratus, dan Lucid Group merosot 5.3 peratus.

Sebagai info, Elon Musk adalah antara penyumbang terbesar kepada kempen Trump dengan membelanjakan sekurang-kurangnya $119 juta untuk menggerakkan penyokong Trump.

Anda Mungkin Berminat