Saif Abukeshek Dibebas, Tekad Perjuangan Palestin Terus Bergema

PETALING JAYA: Aktivis kemanusiaan, Saif Abukeshek akhirnya dibebaskan daripada tahanan rejim haram Israel selepas melalui enam hari penuh tekanan dan kekejaman.

Dalam kenyataan rasmi Global Sumud Nusantara (GSN), Saif berkata, pembebasan dirinya bukan noktah perjuangan, sebaliknya menjadi dorongan untuk masyarakat dunia terus bangkit mempertahankan hak rakyat Palestin.

“Mungkin kita kini selangkah lebih dekat menuju Palestin yang bebas, namun perjuangan ini masih belum selesai.

“Kita mesti terus melawan penindasan di setiap sudut,” katanya.

GSN berkata, mesej yang dibawa Saif sejurus pembebasan amat jelas, di mana solidariti antarabangsa tidak boleh terhenti meskipun beliau kini selamat.

Ribuan tahanan Palestin masih menderita di penjara Israel dan didakwa berdepan layanan tidak berperikemanusiaan.

Organisasi itu turut merakamkan penghargaan kepada pasukan guaman Saif dan Thiago di Adalah, selain semua pihak yang menggerakkan solidariti serta memberi tekanan di pelbagai peringkat bagi memastikan keselamatan dan kepulangan mereka.

“Sehingga Palestin bebas,” tegas kenyataan itu, menandakan komitmen berterusan gerakan solidariti antarabangsa dalam memperjuangkan kebebasan Palestin.

Anda Mungkin Berminat