Saifuddin beri bayangan ada dakwaan saya terima rasuah RM500,000 – Rafizi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mendedahkan beliau pernah diberi bayangan mengenai dakwaan rasuah melibatkan syarikat NexG berjumlah RM500,000 oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan dalam satu pertemuan pada 2 Disember 2025, di mana beliau turut diingatkan bahawa pendedahan isu tersebut boleh memalukan dirinya.

Rafizi berkata, apabila beliau meminta bukti, Saifuddin menunjukkan invois pembayaran yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.

“Mana ada orang beri rasuah dengan keluarkan resit? Itu tidak masuk akal. Bayaran RM500,000 bersama invois itu dikatakan daripada Harizan (Mohd Hafizan Haris) dan GFIS, tetapi saya tidak pernah kenal mereka,” katanya menerusi video di Facebook.

Beliau mengulas laporan portal Malaysia Corporate yang mendakwa beliau menerima dana daripada Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datuk Abu Hanifah Nordin, pada 2023 bagi tujuan kempen pemilihan PKR.

Menurut laporan itu, pembayaran didakwa dibuat melalui Mohd Hafizan Haris yang dikatakan orang kepercayaannya menerusi syarikat GFIS (M) Sdn Bhd, melibatkan RM200,000 secara transaksi bank dan RM300,000 secara tunai.

Dana berkenaan didakwa sebagai balasan untuk membantu syarikat tertentu mendapatkan lanjutan kontrak pasport sehingga lima tahun.

Bagaimanapun, Rafizi Ramli menegaskan semua dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan bertujuan memfitnah beliau.

“Tidak ada satu pun bukti menunjukkan saya pernah berjumpa dengan Datuk Abu Hanifah atau mana-mana wakil NexG, apatah lagi menerima wang RM500,000 seperti didakwa.

“Malah garis masa juga tidak logik kerana ketika itu belum timbul pun isu pemilihan PKR,” katanya.

Beliau turut menafikan mengenali individu bernama Mohd Hafizan Haris yang dikaitkan dengan transaksi tersebut.

“Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah kenal atau berjumpa individu itu. Jika benar ada bayaran dibuat, siasatlah pihak terlibat termasuk syarikat dan individu yang dinamakan,” katanya.

Tambahnya, kemungkinan wujud pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan mengaitkan namanya dalam urusan tersebut.

Rafizi berkata beliau akan menjelaskan perkara itu dengan lebih terperinci dalam Podcast YBM Episod 43 yang dijadualkan disiarkan pada Jumaat ini jam 9 malam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat