PETALING JAYA: Dalam satu sidang media yang diadakan semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjawab persoalan mengenai isu kad pengenalan palsu yang tular di media sosial serta isu 3R (bangsa, agama dan raja) yang cuba dipolitikkan oleh sesetengah pihak.
Menurut satu hantaran di Facebook miliknya, berhubung isu MyKad palsu yang tular baru-baru ini, Saifuddin menjelaskan bahawa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah mengambil tindakan segera.
Katanya, pada 7 Mac lalu, dua individu telah ditangkap berkaitan isu itu dan telah direman bagi membantu siasatan.
Tambahnya, kes itu timbul selepas seorang individu melaporkan kehilangan MyKad beberapa tahun lalu tetapi baru menyedari identitinya telah digunakan untuk membuat pinjaman membeli peranti elektronik.
“Berdasarkan risikan JPN, suspek utama, seorang lelaki berumur 35 tahun telah ditahan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 7 Mac pukul 7.30 malam.
“Selepas tangkapan, satu lagi MyKad palsu ditemui dalam dompet suspek,” katanya.
Saifuddin berkata, siasatan dijalankan di bawah Peraturan 25(1)(e), 25(1)(a) dan 25(1)(g) Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Katanya lagi, jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
“Saya ingin menegaskan bahawa pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan melakukan tangkapan susulan berdasarkan hasil soal siasat yang dijalankan,” katanya.
Dalam hal lain berkenaan isu 3R yang dipolitikkan, Saifuddin mengingatkan bahawa politik seharusnya berfokus kepada dasar dan penyelesaian masalah rakyat, bukan bermain dengan isu perkauman dan agama.
“Jika terdapat pihak yang mencetuskan ketegangan, pihak berkuasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan berdasarkan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi atau akta lain yang berkaitan.
“Berdasarkan data semasa, jika akta-akta berkaitan ini digunakan, maka pemimpin-pemimpin dari kumpulan tertentu telah banyak dikenakan tindakan atas isu ini,” katanya.
Beliau menasihatkan agar politik lebih tertumpu kepada dasar dan program yang menyelesaikan masalah rakyat dan bukan memainkan isu perkauman dan agama.
“Undang-undang sedia ada akan dikuatkuasakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan ketegangan.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan pentadbiran yang telus dan berkhidmat kepada rakyat,” ujarnya.