PETALING JAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyeru semua pihak agar menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan berhubung kematian tragis pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, siasatan kes kini berada di bawah penelitian Jabatan Peguam Negara (AGC) dan sebarang spekulasi awam perlu dihentikan bagi memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas mereka secara telus dan profesional.
“Apabila polis selesaikan tugas, mereka serah (kertas siasatan) kepada AG.
“Proses itu biasa dan peguam pun tahu. Kita tak perlu berada dalam polemik tentang siasatan sempurna atau tidak. Hormatlah dulu proses itu.
“Jika terdapat kelemahan dalam kertas siasatan, AGC mempunyai kuasa untuk memulangkannya kepada polis bagi penambahbaikan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program i-Deen AADK di Ibu Pejabat AADK, hari ini.
Semalam, AGC mengesahkan bahawa pihaknya sedang meneliti laporan siasatan awal yang diterima daripada polis pada 3 dan 4 Ogos lalu di pejabat mereka di Sabah dan Putrajaya.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam yang mewakili ibu Zara menggesa agar beberapa tindakan lanjut diambil termasuk cadangan menggali semula jenazah dan mengadakan inkues bagi menyiasat kemungkinan wujud unsur jenayah.
Mereka turut mempersoalkan skop siasatan polis yang disifatkan terhad, memandangkan tiada laporan bedah siasat lengkap serta ketiadaan barangan peribadi mangsa sebagai bahan bukti.
Zara ditemui dalam keadaan cedera parah selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di hospital keesokan harinya.
Polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dan kes kini telah dirujuk ke Bukit Aman untuk siasatan lanjut.
Dalam sidang media sama, Saifuddin turut memaklumkan bahawa pertukaran pegawai antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri adalah amalan biasa dalam usaha memperkukuh integriti dan keberkesanan operasi.








