Saifuddin Sebak, Akui Takut Kehilangan Rafizi

Oleh: Hanim Nadia

JOHOR BAHRU: Sesi penggulungan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2024/2025 menjadi momen penuh emosi apabila Datuk Seri Saifuddin Nasution kelihatan sebak saat berbicara tentang bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Bekas Setiausaha Agung PKR itu mengakui perasaannya bercampur-baur selepas pemilihan parti yang berlangsung semalam yang menyaksikan ada pihak yang berduka ketika yang lain meraikan kemenangan.

“Yang menang sambut gembira, saya pilih untuk teman Rafizi turun daripada pentas.

“Saya hantar dia ke kereta, peluk dan salam. Kami saling meminta maaf dan saya akui takut kehilangan beliau dalam PKR,” katanya dengan nada sebak dalam ucapannya di Pusat Konvensyen Persada Johor.

Kata Saifuddin, meskipun terdapat perbezaan pendapat antara mereka, perbincangan tetap berlangsung secara baik.

Beliau turut mengenang bagaimana Rafizi pernah mempersoalkan pemberian ruang kepada ahli baru dalam pemilihan parti.

“Ketika kempen pemilihan, Rafizi cakap tak dapat terima jika Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri peluang kepada ahli baharu yang kemudian terus naik dalam PKR dalam tempoh singkat,” ujarnya.

Kempen perebutan jawatan Timbalan Presiden antara Rafizi dan Nurul Izzah Anwar berlangsung sengit, tetapi Saifuddin berusaha menjadi perantara dengan meluangkan masa berjam-jam bersama mereka sebelum menyampaikan maklumat yang diperolehnya kepada Presiden parti.

“Kita kena jaga ‘talent’ politik sebagus Rafizi. Betul ada beza kerenah, namun kita bukan datang dari satu acuan,” tambahnya.

Dalam pemilihan semalam, Rafizi gagal mempertahankan jawatannya setelah tewas kepada Nurul Izzah, yang memperoleh 9,803 undi.

Meskipun kecewa, Rafizi memberi bayangan bahawa beliau tidak akan meninggalkan PKR.

Sehubungan itu, Saifuddin menyeru agar Presiden PKR segera mengambil langkah memujuk mana-mana pemimpin yang terluka akibat pemilihan tersebut.

“Akan ada yang terluka dan terbakar hati, namun tidak nampak. Datuk Seri bukan sahaja bapa kepada Nurul Izzah, tetapi bapa kepada kami semua.

“Pujuklah segera mereka yang terluka dan terbakar hati ini, supaya parti akan terus diperkukuhkan menjelang PRN Sabah dan PRU16,” katanya.

Anda Mungkin Berminat