Salah Guna Laluan dan Gagal Patuhi Piawaian, Punca Pemandu Lori Ragut 9 Nyawa Anggota FRU

PETALING JAYA: Kemalangan tragis yang meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak pada Mei lalu berpunca daripada tindakan pemandu lori muatan batu kerikil yang memasuki lorong bertentangan sehingga mengakibatkan perlanggaran dengan lori FRU.

Menurut siasatan awal Pasukan Petugas Khas Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan (MOT), lori tipper terbabit didapati melanggar Seksyen 57 (1) (b) (iii) Akta Pengangkutan Awam Darat kerana membawa muatan yang tidak dibenarkan.

“Lori muatan batu kerikil didapati membawa muatan melebihi 70 peratus daripada had yang dibenarkan.

“Ia juga tidak mematuhi Pelan Teknikal Kenderaan yang diluluskan mengikut Kaedah 9A Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan & Penggunaan) 1959,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, siasatan pasca-kemalangan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan PUSPAKOM mendedahkan tanda-tanda pemanasan melampau pada brek dram kenderaan, berkemungkinan besar akibat penggunaan brek secara berlebihan.

“Pemeriksaan pasca-kemalangan oleh pihak JPJ dan PUSPAKOM telah mengesan tanda-tanda pemanasan melampau pada brek dram kenderaan.

“Keadaan ini berkemungkinan besar berpunca daripada penggunaan brek secara berlebihan semasa kejadian,” ujarnya.

Malah katanya, pemeriksaan lanjut mendapati bahawa tiada bukti kegagalan mekanikal menyumbang secara langsung kepada nahas tersebut.

“Semua sistem mekanikal utama lori, termasuk brek, tayar, stereng, dan suspensi, berada dalam keadaan memuaskan serta memenuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, pasukan penyiasat mengenal pasti penggunaan kenderaan yang tidak sesuai untuk mengangkut batu kerikil.

Berdasarkan pelan teknikal JPJ, lori tersebut hanya diluluskan untuk membawa arang batu.

Laporan turut mengesahkan bahawa faktor keadaan jalan raya bukanlah penyebab utama kemalangan kerana siasatan mendapati keadaan jalan dan persekitarannya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecacatan ketara.

Namun, lori tipper terbabit juga gagal dipasang dengan teknologi GPS seperti yang diwajibkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“APAD mewajibkan pemasangan GPS bagi semua kenderaan perdagangan yang berdaftar, selaras dengan Perkara 11, Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) dan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Pemasangan GPS wajib bagi memastikan setiap kenderaan dilengkapi GPS berfungsi bagi pemantauan kelajuan dan lokasi serta untuk memantau dan mengambil tindakan segera ke atas pemandu yang memandu secara berbahaya atau melebihi had laju,” katanya.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa faktor manusia dikenal pasti sebagai penyebab utama kemalangan termasuk rekod lampau pemandu lori berkenaan yang mempunyai 13 saman trafik PDRM dan satu saman JPJ.

Secara keseluruhan, siasatan mengesahkan bahawa aspek seperti keadaan jalan dan kenderaan bukan faktor utama sebaliknya kecuaian pemandu dan ketidakpatuhan terhadap piawaian keselamatan menjadi penyebab utama tragedi itu.

Anda Mungkin Berminat