PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa isu subsidi gas petroleum cecair (LPG) bukan peraturan baharu di bawah Kerajaan Madani dan bukan juga pemotongan subsidi sebagaimana didakwa.
Menterinya, Datuk Armizan Ali berkata ia terkait dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah pun berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021 di bawah pentadbiran Kerajaan lalu.
“Dalam Peraturan 2021 ini, penggunaan barang-barang kawalan tertentu melebih kuantiti yang ditetapkan, perlu memohon permit barang kawalan. Bagi LPG, penggunaan melebihi 42 kg pada satu-satu masa (melebih 3 tong 14 kg, tidak boleh menggunakan tong LPG bersubsidi).
“Bermula 1 Mei 2025, KPDN melaksanakan Ops Gas Memasak (Ops GASAK). Fokus kepada aspek ketirisan subsidi LPG melalui aktiviti decanting dan penggunaan subsidi oleh pihak industri.
“Bagaimanapun, dalam operasi pemeriksaan rutin penguat kuasa di premis-premis perniagaan termasuk restoran, kita memaklumkan peniaga tentang peraturan yang berkuat kuasa melalui notis yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.
Ujarnya, notis tersebut bukanlah satu dokumen kompaun kesalahan tetapi merupakan dokumen Kenyataan Pemeriksaan Premis yang merupakan dokumen standard yang akan diserahkan penguat kuasa KPDN semasa membuat sebarang pemeriksaan rutin di mana-mana premis yang berkaitan.
“Ini termasuk pemeriksaan pematuhan semua perundangan di bawah bidang kuasa KPDN yang berkaitan seperti pemeriksaan tanda harga, alat timbang sukat dan semakan Permit Barang Kawalan.
“Terkait tong LPG, mana-mana pihak yang tidak menyimpan atau menggunakan melebihi had berkenaan tidak tertakluk kepada keperluan Permit Barang Kawalan.
“Sebahagian besar gerai penjaja dan gerai makan tidak menggunakan tong LPG subsidi melebihi 3 tong @ 42kg pada satu-satu masa, isunya adalah berkaitan restoran-restoran dan perniagaan berskala besar,” tambahnya.

Untuk rekod, tindakan undang-undang hanya diambil serta merta kepada aktiviti decanting (tong LPG subdisi yang diseleweng dan dimasukkan ke dalam tong tanpa subsidi) dan penggunaan oleh industri.
Manakala, di premis perniagaan lain, hanya untuk advokasi untuk memaklumkan peraturan untuk premis perniagaan yang menggunakan lebih 3 tong LPG (melebihi 42 kg pada satu-satu masa perlu memohon permit barang kawalan).
Armizan menjelaskan setakat ini KPDN tidak melaksanakan tindakan penguatkuasaan kepada premis perniagaan termasuk restoran yang tidak mematuhi peraturan tersebut dan hanya berbentuk advokasi melalui dokumen makluman. KPDN akan merujuk kepada agensi pusat terlebihi dahulu sebelum sebarang tindakan kompaun diambil.
“Perlu diingat, subsidi LPG telah mencecah RM3.4 bilion pada tahun 2024. Ini adalah salah satu jenis subsidi kepenggunaan iaitu subsidi dapur rumah rakyat, bukannya subsidi perniagaan atau perdagangan.
“Jumlah subsidi ini akan terus meningkat sekiranya tiada larangan tegas kerana premis perniagaan makanan minuman semakin bertambah.
“Kita ambil makluman risiko kenaikan harga makanan yang disebut oleh pihak tertentu sekiranya mereka tidak dibenarkan menggunakan tong subsidi. Namun, perlu juga dipertimbangkan sama ada ruang fiskal kerajaan akan mampu menampung kos subsidi LPG yang semakin membesar termasuk memberikan subsidi kepada semua jenis restoran.
“Buat masa ini, subsidi LPG digunakan oleh sebahagian besar restoran, apa juga jenis restoran. Ada restoran menjual nasi ayam RM8 per hidangan, ada RM10, ada RM15 dan ada juga melebihi RM20 seorang. Adakah wajar kita berikan subsidi LPG kepada restoran yang menjual mee goreng pada harga RM20 sepinggan, sedangkan ada restoran yang hanya menjual pada harga RM8,” soalnya kembali.