Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin membayar ganti keseluruhan berjumlah RM1.35 juta kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman fitnah dikemukakan Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Al-Bukhary.
Roz Mawar memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM350,000.
Dalam keputusannya, Roz Mawar berkata, Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui imbangan kebarangkalian dan kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu adalah tidak berasas serta tidak benar.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau gembira dengan keputusan mahkamah tersebut.
“Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah yang menyatakan apa yang dikatakan Muhyiddin adalah palsu dan tidak berasas.
“Kata-kata Muhyiddin berbahaya. Saya harap orang lain tidak akan melakukan kesilapan yang sama untuk pengaruh politik,” kata bekas menteri kewangan itu dalam sidang media di perkarangan mahkamah selepas keputusan itu diumumkan.
Lim ditemani bapanya yang juga veteran DAP, Lim Kit Siang serta beberapa ahli parlimen parti.
Pada 27 Mac tahun lalu, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah di Facebook mengenai dirinya berhubung isu berkenaan pada 9, 11 dan 12 Mac 2023.
Laporan berhubung isu itu kemudian diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Guan Eng turut mendakwa kenyataan terbabit membawa maksud beliau telah menyalah guna kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary.