PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa tindakan peguam dan aktivis politik, P. Waythamoorthy memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan berpunca daripada salah tafsir terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Menurut laporan media, Waythamoorthy telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Anwar sebagai defendan.
Beliau memohon pengisytiharan bahawa Anwar tidak layak bertanding sebagai Ahli Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya tidak layak dilantik sebagai Perdana Menteri.
Waythamoorthy mendakwa bahawa dokumen pengampunan diraja yang diperoleh Anwar tidak mengandungi pengecualian khusus daripada tempoh hilang kelayakan selama lima tahun, seperti yang diperuntukkan kepada individu yang pernah dihukum penjara lebih daripada setahun.
Namun, Pengerusi Biro Perundangan PKR, Sivarasa Rasiah tampil mempertahankan kedudukan Anwar dan menolak hujah tersebut sebagai tidak berasas daripada sudut undang-undang.
“Adalah fakta umum bahawa pada 16 Mei 2018, Anwar telah menerima pengampunan penuh dan bebas daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, yang berpendapat bahawa sabitan ke atas Anwar adalah satu ketidakadilan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sivarasa menjelaskan bahawa dalam prinsip undang-undang yang asas, pengampunan penuh dan bebas menghapuskan sepenuhnya sabitan, seolah-olah sabitan dan hukuman itu tidak pernah berlaku.
“Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa sekiranya seseorang itu telah menerima pengampunan, maka sabitan terdahulu tidak menjadi faktor penghalang kelayakan,” jelasnya.
Beliau turut menolak dakwaan kononnya perlu ada pengecualian khas daripada Yang di-Pertuan Agong sebagai tidak relevan, berdasarkan tafsiran yang jelas dalam Perkara 48(3) Perlembagaan.
“Tambahnya, terdapat dakwaan yang kononnya perlu ada pengecualian khas daripada Agong juga adalah tidak relevan berdasarkan tafsiran yang jelas dalam Perkara 48(3) Perlembagaan,” katanya.
Sivarasa turut mempersoalkan motif Waythamoorthy yang hanya membangkitkan isu ini selepas hampir tiga tahun Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Persoalan timbul, mengapa selepas hampir tiga tahun, Waythamoorthy tiba-tiba tampil dengan hujah ini?
“Adakah ini sekadar usaha untuk terus kekal relevan dalam politik?” soal beliau.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menghormati prinsip undang-undang dan tidak menyalahgunakannya demi kepentingan politik peribadi.