Sambutan luar biasa terhadap Anwar, Merotai beri isyarat positif

MEROTAI: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke program “Fiesta Demi Merotai: Harapan Urang Sabah” malam tadi disambut dengan luar biasa oleh ribuan penduduk setempat, sekali gus dilihat sebagai isyarat positif terhadap sokongan rakyat menjelang hari pengundian.

Lautan manusia yang memenuhi lokasi program membuktikan keterujaan rakyat Merotai terhadap kehadiran Anwar, yang turut disifatkan sebagai manifestasi keyakinan terhadap agenda Kerajaan Perpaduan dalam membela nasib rakyat Sabah.

Kehadiran Anwar juga membawa mesej politik yang jelas apabila beliau menzahirkan sokongan terbuka kepada calon No. 4, Datuk Ruji Ubi, sebagai wakil yang diyakini mampu memperjuangkan aspirasi rakyat Merotai.

Dalam ucapannya, Anwar menekankan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan menyeluruh di Sabah, selain menegaskan bahawa suara rakyat Merotai amat penting dalam menentukan hala tuju masa depan kawasan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menyifatkan sambutan luar biasa rakyat Merotai sebagai satu petanda awal kebangkitan sokongan terhadap calon yang diketengahkan gabungan itu.

“Kehadiran luar biasa ini membuktikan rakyat mahukan perubahan yang benar-benar memberi manfaat kepada mereka. Gunakanlah baki hari kempen ini sebaiknya dan pada 29 haribulan nanti, keluar mengundi serta berikan sokongan kepada calon yang layak dan berdedikasi,” katanya.

Beliau turut menyeru semua pengundi agar menunaikan tanggungjawab dengan penuh kesedaran demi memastikan pembangunan berterusan dan kesejahteraan rakyat Merotai dapat direalisasikan.

Pilihan raya ini dilihat sebagai medan penting untuk menguji sokongan rakyat terhadap gabungan Kerajaan Perpaduan, khususnya di kawasan pedalaman Sabah yang selama ini berdepan pelbagai cabaran pembangunan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat