RIYADH: Keberangkatan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Arab Saudi menerima penghormatan tertinggi apabila Baginda diberikan sambutan negara penuh istiadat di Istana Yamamah, Riyadh, sempena lawatan negara rasmi ke Tanah Suci itu.
Tepat pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan (6.30 petang waktu Malaysia) pada Selasa, Seri Paduka Baginda disambut mesra oleh Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud.
Lagu kebangsaan kedua-dua negara iaitu Negaraku dan lagu rasmi Arab Saudi berkumandang sebagai tanda penghormatan sebelum Baginda dan Putera Mohammed melintasi kawalan kehormatan dan melangkah masuk ke istana.
Lawatan itu menandakan detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia-Arab Saudi dengan pertemuan rasmi antara Sultan Ibrahim dan Putera Mohammed berlangsung seusai istiadat sambutan.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Tunku Temenggong Johor, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Panglima Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Delegasi Malaysia turut disertai oleh Menteri Pertahanan merangkap Menteri Pengiring, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Datuk Dr Azmi Rohani serta Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamed Bakri Syed Abdul Rahman.
Putera Mohammed bin Salman kemudiannya menghoskan majlis santapan negara yang dihadiri tetamu kehormat dari kedua-dua negara, memperkukuh lagi semangat persahabatan dan kerjasama.
Dalam titah kepada Royal Press Office (RPO), Seri Paduka Baginda menyifatkan pertemuan tersebut sebagai sangat bermakna dan penuh mesra.
“Ini merupakan pertemuan julung kali kami berdua dan Putera Mohammed sangat berpengetahuan dalam pelbagai perkara yang dibincangkan.
“Saya turut berkongsikan beberapa pandangan terutama berkenaan pentingnya pelaksanaan dasar yang konsisten dalam kerajaan serta perhubungan antarabangsa.
“Dasar yang konsisten akan membawa kestabilan perhubungan dua hala serta memberi keyakinan untuk menarik pelaburan kepada sesebuah negara,” titah Baginda.
Seri Paduka Baginda turut memuji Visi 2030 Arab Saudi, satu pelan transformasi nasional yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi, memperkasa rakyat dan mewujudkan persekitaran pelaburan yang rancak dan berdaya saing.
Lawatan negara itu bukan sahaja memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Arab Saudi, malah membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik daripada pelaburan dan perdagangan, hinggalah kepada pendidikan, teknologi dan pembangunan insan.








