Samsuri dilantik ketua pembangkang baharu ganti Hamzah

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) melantik Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Ketua Pembangkang yang baharu menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Tertinggi PN yang dipengerusikan Ahmad Samsuri di sini pada Sabtu.

“Mesyuarat bersetuju melantik Ahmad Samsuri untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan sama ada pelantikan itu telah dimaklumkan secara rasmi kepada Johari Abdul atau sebaliknya.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri dilaporkan mengesahkan Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut telah meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang selepas dipecat daripada BERSATU.

Susulan itu, beliau turut mengarahkan Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS menulis surat rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi memaklumkan kekosongan jawatan tersebut.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin berkata Mesyuarat Tertinggi PN turut bersetuju secara prinsip untuk menjalin kerjasama pilihan raya dengan parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan serta kepentingan bersama.

Menurut beliau, mesyuarat turut membincangkan beberapa isu semasa melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Katanya, PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang konstruktif serta berprinsip demi memastikan kepentingan rakyat terus diberi perhatian.

“Mesyuarat juga memutuskan pelantikan pengerusi PN negeri dengan Shahidan Kassim dilantik menerajui kepimpinan PN di Perlis,” katanya.

Antara pelantikan lain ialah Muhammad Sanusi Md Nor bagi Kedah, Dominic Lau Hoe Chai di Pulau Pinang, Ahmad Faizal Azumu di Perak dan Mohamed Azmin Ali di Selangor.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat