Samun Bersenjata Parang Di Banting, Polis Giat Buru Suspek

BANTING: Seorang lelaki tempatan menjadi mangsa samun bersenjata parang pada di kebun sawit Bukit Perah pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 pagi, mangsa didatangi dua lelaki yang berpura-pura sesat sebelum salah seorang daripadanya mengeluarkan sebilah parang, mengikat tangan serta kaki mangsa dan menendang wajahnya sehingga bibir mangsa pecah.

Menurut kenyataan rasmi Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Supt. Mohd Akmalrizal Radzi, suspek melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux putih bernombor pendaftaran WYP951, sebuah telefon bimbit Oppo, dokumen penting serta wang tunai dianggarkan RM9,500.

Namun hasil risikan pantas pihak polis, kenderaan tersebut berjaya ditemui dalam tempoh sejam selepas kejadian, ditinggalkan di tepi jalan Prima Puchong.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.

“Menangkap suspek sedang giat dijalankan oleh pihak polis.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-31872222,” katanya.

Polis menyeru kerjasama masyarakat bagi mempercepatkan usaha menjejaki suspek, sekali gus memastikan keselamatan awam terus terjamin.

Anda Mungkin Berminat