PETALING JAYA: Suspek yang disyaki melakukan samun di sebuah kedai emas di pasar raya di Kota Damansara Sabtu lalu disahkan seorang anggota polis bantuan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek, 32, yang kali pertama melakukan samun itu dipercayai untuk membayar hutang yang sedang ditanggungnya.
“Kita dapati dia ada hutang hampir RM20,000 antara sebab dia melakukan samun ialah untuk bayar hutang, jenis hutang Along atau sebagai masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Isnin.
Hussein berkata, sebanyak tujuh dulang barang kemas bernilai kira-kira RM2 juta dilarikan suspek dan kemudiannya melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Pesona.
Selain itu, kata beliau, siasatan mendapati senjata api yang digunakan suspek adalah salah satu senjata api yang digunakan di tempat dia bekerja.
“Suspek mempunyai kata laluan dan akses untuk mengambil senjata api itu. Dia mengambil senjata api itu dan melakukan rompakan terbabit dan pulangkan semula senjata api berkenaan di tempat asalnya.
“Kemudian pulang ke rumah untuk bersiap masuk bekerja pada syif 12 tengah malam.
“Tetapi suspek tidak sempat masuk kerja kerana diberkas pihak polis ketika bersiap ke tempat kerja,” katanya.
Suspek berjaya ditahan dalam tempoh 12 jam di Bukit Beruntung selepas polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden tersebut kira-kira jam 4.56 petang.
Beliau berkata, sewaktu tangkapan itu, polis menemui serangkai kunci, alat kawalan jauh berlambang Proton, telefon bimbit, satu beg galas, 81 utas rantai emas, wang tunai RM1,800, sekeping kad Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas nama suspek dan beberapa barang kes lagi.
Beliau mendedahkan, suspek sudah empat tahun berkahwin dan keluarga berada di Kelantan, dia menyewa rumah seorang diri di Bukit Beruntung.
“Suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau ditahan reman selama tujuh hari sehingga 29 Mac depan.
“Polis akan memanggil penyelia dan rakan sekerja suspek bagi membantu siasatan,” katanya.
Baca juga: